Pelajar yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris perlu memperbanyakkan bacaan serta sering berkomunikasi menggunakan bahasa itu di mana saja mereka berada.

Pelajar tidak hanya boleh mengharapkan pembelalajaran dalam bilikdarjah atau sekadar menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru sebaliknya perlu membuat bacaan tambahan untuk mahir dalam bahasa Inggeris.

Menurut guru Bahasa Inggeris Sekolah Taman Medan, Petaling Jaya, Sebastian K Francis, 52, penguasaan bahasa Ingeeris yang baik penting bagi seorang penuntut untuk membantunya menjadi lebih cemerlang dalam pelajaran.

Namun begitu, katanya ramai kalangan pelajar terutama pelajar melayu yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, menyebabkan mereka agak ketinggalan dalam pelajaran.

"Penguasaan bahasa Inggeris akan lebih mudah jika pelajar terdedah kepada pembacaan dan penggunaan yang berterusan berbanding sekadar bergantung kepada pembelajaran nahu oleh guru di sekolah," katanya yang pernah memenangi Anugerah Cemerlang Guru Bahasa Inggeris peringkat Selangor pada 1994.

Menurut beliau, pembacaan dan penggunaan bahasa Inggeris ini dapat membantu pelajar lebih yakin untuk bertutur dan ia menjadi aset penting kepada setiap pelajar pada masa depan.

Katanya, bahasa Inggeris juga penting dalam meningkatkan prestasi, terutama Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebastian yang menjadi pemenang tunggal bagi kategori Guru Cemerlang subjek Bahasa Inggeris berpendapat, pengajaran yang berkonsepkan kasih sayang dan mengambil berat terhadap anak murid memberi kesan besar bagi mengembalikan minat pelajar terhadap pelajaran.

"Saya mempunyai ramai anak murid sejak berkhidmat dalam bidang perguruan selama hampir 30 tahun selepas menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Kuantan pada 1967 dan 1968.

"Kebanyakkan anak murid saya juga telah berjaya dalam pelbagai bidang dan masih mengingati saya serta menganggap saya banyak membantu mereka memperbaiki mutu penguasaan bahasa Inggeris mereka," katanya.

Beliau mula bertugas di sebuah sekolah rendah daerah pedalaman di Kelantan. Tempoh perrkhidmatan selama enam tahun bukanlah suatu yang lama tetapi sedikit sebanyak ia membantu pelajar menganali bahasa Inggeris yang sering dianggap sukar.

Kesibukannya di sekolah tidak menghalangnya untuk berjaya seterusnya memperolehi ijazah Sarjana Pendidikan dengan keputusan cemerlang daripada Universiti Deakin, Australia, pada 22 September tahun lalu.

Sebastian mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana melalui program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) universiti berkenaan sejak Mac 1997.

"Namun dengan berpegang kepada semangat tinggi untuk meningkatlkan ilmu pengetahuan, saya berusaha melengkapkan pengalaman selama 32 tahun dalam perkhidmatan pendidikan negara ini dengan mendapat kelulusan yang setara meskipun sentiasa sibuk dengan tugas utama sebagai guru di sekolah."

"Sebagai seorang pendidik, saya memang tidak jemu menimba sebanyak mungkin ilmu serta pengalaman untuk dimanfaat dan dicurahkan kepada pelajar," katanya.

Beliau kini mengambil cuti tanpa gaji selama setahun bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat (IT).

Katanya, sebagai pendidik yang akan menjadi fasilitator kepada pelajar, beliau perlu
menyediakan ilmu berkenaan terlebih dahulu.